Kali ini kumpulan NilamSoft Sdn Bhd akan mengetengahkan kisah tentang seorang usahawan ikan keli yang berjaya di Kluang, Johor Darul Takzim. Hj. Mohd Rizaudin bin Salleh atau lebih selesa dikenali sebagai Hj. Din, merupakan anak kelahiran Kluang, Johor. Beliau merupakan anak bongsu dari 7 orang adik beradik.
Hj. Din telah melibatkan diri dengan keusahawanan ikan keli sejak 2010. Minat beliau terhadap perikanan dan sesuai dengan hobi beliau yang kerap memanjakan diri dengan laut, mendorong beliau untuk memulakan perniagaan dalam bidang ini. Perniagaan ini telah dimulakan oleh kakak beliau sendiri pada 5 tahun yang lepas, iaitu pada tahun 2008. Memandangkan tiada perkembangan dicapai pada ketika itu, Hj. Din membuat keputusan untuk menyambung perniagaan tersebut. Dengan harga pasaran ikan keli pada ketika itu hanya RM2 sekilogram dan tanpa sebarang pinjaman dari mana-mana pihak, beliau telah mengambil alih perniagaan tersebut daripada kakaknya dan menyusun strategi baru untuk mempromosikan perniagaan beliau dengan lebih meluas. Daripada hanya 3 kolam ikan keli, kini sudah meningkat kepada 24 kolam. Siapa sangka, kini harga pasaran borong ikan keli mencecah RM7 sekilogram.
Hj. Din telah bekerjasama dengan pihak FAMA (peraih) untuk mendapatkan bekalan ikan keli dan benih ikan keli. Dengan kajian pasaran selama setahun, banyak faktor-faktor yang dikaji untuk mencuri minat para penjual ikan keli untuk mendapatkan bekalan ikan keli yang berkualiti daripada beliau. Dengan saingan pemborong ikan keli berbangsa lain, tidak begitu sukar bagi Hj. Din untuk mendapatkan peniaga yang kebanyakannya terdiri daripada orang Melayu. Antara perkara yang disebutkan kepada peniaga beliau adalah dengan menawarkan harga yang lebih murah dan status kehalalan yang diragui jika membeli daripada pemborong ikan keli berbangsa bukan Melayu. Dengan cara itu, Hj. Din dapat merebut peluang dari peniaga Melayu di Pasar Kluang.
Pemasaran
Apabila ditanya tentang strategi pemasaran, beliau menceritakan bahawa banyak cara yang telah dilakukan untuk menambat hati peniaga ikan keli di Pasar Kluang, Johor. Selain mengkaji kehendak dan keperluan peniaga ikan keli dan juga menawarkan harga yang lebih rendah, beliau juga telah mengupah syarikat pengedar surat khabar di Kluang untuk menyelitkan 'handout pamphlet' ke dalam surat khabar untuk tempoh tertentu. Promosi melalui banner juga dilakukan sebagai satu langkah mengenalkan diri kepada orang awam. Akhirnya, beliau berjaya menambat hati para peniaga sehinggakan bekalan ikan keli daripada beliau menjadi permintaan di Kluang, Mersing dan Johor Bahru. Kini, kolam beliau bukan sahaja dikunjungi oleh peniaga-peniaga ikan, malah juga dikunjungi oleh orang persendirian yang ingin mendapatkan ikan keli yang lebih segar dan murah. Dan pendapatan beliau sehingga hari ini telah pun mencecah puluhan tan ikan keli yang menjadi permintaan ramai.
Kejatuhan.
Sebagai pengusaha dan juga peniaga, Hj. Din tidak terkecuali dalam merasa kerugian dan kejatuhan. Walau bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana tidak mengalami kerugian dalam tempoh masa yang lama. Pernah satu ketika, lebih daripada 3 tan ikan-ikan keli yang diusahakan oleh beliau mati tanpa punca. Siasatan yang dibuat tidak dapat mengesahkan apakah punca sebenar yang menyebabkan ikan-ikan tersebut mati. Beliau bernasib baik kerana telah mendapat bantuan daripada pihak FAMA. FAMA memberikan khidmat rawatan kepada ikan-ikan yang tinggal dengan cara hutang. Setelah semuanya kembali pulih, Hj. Din akan membayar khidmat tersebut kepada FAMA secara ansuran. Itu adalah kelebihan Hj. Din, yang telah berjaya menagih kepercayaan daripada pihak tertentu seperti FAMA. Akhirnya, perniagaan beliau kembali seperti sedia kala, malah lebih baik dari sebelumnya.
Perancangan Seterusnya.
Kami sempat bertanyakan apakah perancangan seterusnya? Takkanlah hanya ingin terus mengusahakan ikan keli sahaja? Beliau menjawab, perancangan seterusnya akan melibatkan modal yang lebih besar dan pulangan yang lebih lumayan. Beliau bercadang untuk menternak ikan tilapia dan betutu pula. Menurut beliau, ikan betutu mempunyai permintaan yang tinggi dan harganya sangat mahal sehingga boleh mencecah RM80 sekilogram. Ikan betutu mengambil masa 9 bulan hingga 1 tahun untuk dieksport. Dan jika berhasil, berkemungkinan tahun ini akan dieksport ke Singapura.
Di bawah merupakan persekitaran kolam ikan keli yang diusahakan oleh Hj. Din. Perkara pertama yang dapat dilihat di persekitaran kolam ini adalah kebersihan dan susun atur yang sangat kemas.